DUA beradik dan ibu mereka (tengah) ketika didakwa di mahkamah atas tuduhan merogol dan menggugurkan kandungan di Jambi, Sumatera pada Jun lalu. - Serujambi.com
Reuters

Kuala Lumpur: Banyak pihak mendesak Indonesia mempertimbangkan semula hukuman terhadap remaja perempuan yang dipenjara enam bulan selepas didapati bersalah menggugurkan kandungannya apabila dia hamil akibat dirogol abangnya sendiri.

Kumpulan hak asasi manusia termasuk Amnesty International melaporkan, remaja berusia 15 tahun dari wilayah Jambi di Sumatera itu dihukum penjara pada bulan lalu selepas hakim mendapati dia bersalah menggugurkan kandungannya secara haram.

Abangnya yang berusia 18 tahun pula dihukum penjara dua tahun kerana merogol remaja bawah umur manakala ibu mereka ditahan kerana membantu menggugurkan kandungan, kata Amnesty International.

Media Indonesia melaporkan, bayi yang digugurkan itu kemudian ditemui dibuang di ladang sawit berhampiran rumah mereka.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Kebangsaan Menentang Keganasan Terhadap Wanita, Budi Wahyuni pula menganggap hukuman terhadap remaja itu sebagai ‘ketidakadilan yang melampau.’

“Dia dirogol dan kini dipenjara, ia dua ketidakadilan. Semua wanita mesti diberi hak untuk memutuskan mengenai pengguguran dan tidak dikenakan sebarang hukuman,” katanya kepada Yayasan Thomson Reuters melalui telefon dari Jakarta semalam.

Pengguguran adalah diharamkan di Indonesia melainkan ia mengancam nyawa ibu atau dilakukan atas faktor yang dibenarkan seperti rogol.

Bagaimanapun, prosedur itu mesti dilakukan ketika usia kandungan tidak melebihi enam minggu atau ibu itu boleh dihukum penjara empat tahun dan mereka yang membantu aktiviti itu berdepan hukuman penjara 10 tahun.

Pegawai berkata, remaja itu hamil enam bulan ketika dia menggugurkan kandungannya.

Amnesty International pula menegaskan bahawa mengharamkan mangsa rogol menggugurkan kandungan melanggar hak mangsa untuk bebas daripada penderaan atau layanan tidak kemanusiaan.

“Indonesia mempunyai kewajiban perundangan mengikut undang-undang hak asasi manusia antarabangsa bagi memastikan mangsa rogol atau sumbang mahram mempunyai masa bagi melakukan pengguguran yang selamat serta sah,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Beberapa kumpulan hak asasi wanita dan kanak-kanak kelmarin memfailkan aduan kepada Suruhanjaya Perundangan Indonesia bagi mendesak hukuman itu disemak semula dan menuduh hakim bertindak secara tidak beretika.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 3:15 PM