PENDUDUK Palestin merakam gambar bersama keluarganya selepas solat sunat Aidiladha di pekarangan Masjidil al-Aqsa di Baitulmaqdis, Selasa lalu. - Reuters
Agensi

Ramallah: Pemimpin Palestin menolak tawaran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang mahu memberi ‘sesuatu yang bagus’ jika Palestin mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Pegawai kanan Palestin, Ahmad al-Tamimi berkata, tindakan Trump mahu mengeluarkan Baitulmaqdis daripada rundingan akan datang, adalah ‘dasar berterusan Amerika yang memihak Israel.’

Menurut agensi berita rasmi Palestin, WAFA, beliau berkata, gesaan Trump untuk perjanjian damai Israel-Palestin adalah mustahil tanpa mengiktiraf Timur Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin.

Keputusan Amerika mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel Disember lalu dan memindahkan kedutaannya ke bandar itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan penduduk Palestin.

Pembukaan kedutaan Amerika pada 14 Mei lalu, menyaksikan bantahan besar-besaran dan pertembungan di sempadan Gaza dengan sekurang-kurangnya 63 maut akibat ditembak tentera rejim Zionis.

Selasa lalu, Trump sekali lagi mempertahankan tindakan itu yang menurutnya bagi memudahkan rundingan selepas ini.

“Ingat apa yang saya kata, ia sesuatu yang bagus mengeluarkannya (Baitulmaqdis) dari meja rundingan kerana setiap kali rundingan damai, Palestin tetap membangkitkan isu Baitulmaqdis.

“Dalam rundingan selepas ini Israel akan perlu membayar harga yang tinggi kerana mereka sudah mendapat sesuatu yang amat berharga (Baitulmaqdis).

“Kini, Baitulmaqdis dikeluarkan dari rundingan, tiada apa untuk dirundingkan, namun Palestin akan mendapat sesuatu yang bagus kerana giliran mereka selepas ini,” katanya.

Penasihat Keselamatan Trump, John Bolton, yang berada di Baitulmaqdis kelmarin berkata, beliau berharap pemimpin Palestin akan mengenepikan isu pemindahan kedutaan itu.

Menurutnya, pemimpin Palestin sepatutnya menerima hakikat tidak akan mendapat Baitulmaqdis dan kini boleh mengharapkan perkara lain yang boleh dipertimbangkan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin, Saeb Erekat, menolak kenyataan Bolton itu dengan menegaskan Baitulmaqdis Timur perlu menjadi ibu negara Palestin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 10:23 AM