LETUPAN ketika latihan ketenteraan Russia dengan sekutunya, Belarus, tahun lalu. - Tass/PA Images
Agensi

Moscow: Latihan ketenteraan Russia bulan depan adalah yang terbesar pernah diadakan sejak Perang Dingin membabitkan kira-kira 300,000 tentera, 1,000 pesawat dan dua armada tentera laut selain pembabitan China dan Mongolia.

Menteri Pertahanan Russia, Sergei Shoigu berkata, latihan ketenteraan Vostok-2018 itu dijalankan mulai 11 hingga 15 September di timur negara itu.

“Latihan kali ini seperti latihan ketenteraan Zapad-81, namun ia lebih besar,” kata Sergei Shoigu merujuk kepada latihan ketenteraan membabitkan 150,000 anggota pada 1981 di Eropah Timur.

Katanya, lebih 1,000 pesawat, kira-kira 300,000 tentera serta tentera laut dan hampir semua daerah ketenteraan tengah dan timur akan terbabit dalam latihan itu.

“Bayangkan 36,000 peralatan ketenteraan bergerak serentak termasuk kereta kebal, kenderaan berperisai serta kenderaan tempur infantri.

“Pastinya semua ini dalam keadaan hampir sama dengan peperangan sebenar,” katanya.

China dijangka menghantar 3,200 tentera elit dari Ketumbukan Wilayah Utara menyertai latihan ketenteraan itu serta 30 pesawat dan helikopter.

Latihan perang besar-besaran itu tidak menggembirakan Jepun yang sebelum ini menyatakan rasa tidak senang dengan pembangunan tentera Russia di Timur Jauh.

Menurut Agensi Berita Tass, jumlah tentera darat Russia ialah 1,902,758 orang, termasuk 1,013,628 tentera tetap.

Tentera Russia meningkatkan keupayaan dan jumlah tenteranya ketika ketegangan dengan Barat selain menjalin hubungan lebih baik dengan China.

Kedua-dua negara melakukan beberapa latihan ketenteraan bersama, termasuk di Laut China Selatan dan latihan tentera laut di Laut Baltik tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 3:59 PM