MENTERI Perisikan Israel mengesahkan lebih 200 serangan udara dilakukan dalam wilayah Syria sejak dua tahun lalu. - Agensi
Agensi

Damsyik: Bukan belasan, bukan juga puluhan tetapi ratusan serangan udara dilakukan rejim Zionis terhadap kedudukan Iran di Syria sejak setahun setengah lalu.

Menurut pegawai kanan dalam Pasukan Pertahanan Israel (IDF), negara itu melakukan lebih 200 serangan, termasuk menggugurkan kira-kira 800 bom dan membedil peluru berpandu, terutama konvoi penghantaran senjata dari Iran selain pangkalan dan kemudahan tentera.

Kelmarin, menurut al-Jazeera, Menteri Perisikan Israel, Yisrael Katz, yang mengesahkan maklumat itu berkata, kehadiran aset ketenteraan Iran di Syria adalah ‘garisan merah’.

“Hanya sekarang saya boleh mengesahkan sejak dua tahun lalu, Israel melaksanakan tindakan ketenteraan lebih 200 kali dalam wilayah Syria.

“Ia perlu dilakukan dalam aspek mengekalkan ‘garisan merah’ itu, menghalang perkara yang sudah, sedang dan akan dilakukan Iran terhadap Israel dari Syria,” katanya.

Sebelum bersara, pemerintah tentera udara Israel memberitahu media tempatan pada Ogos 2017, pasukannya melakukan hampir 100 serangan dalam wilayah Syria.

Ini bermakna dalam tempoh setahun, Israel melakukan lebih 100 lagi serangan udara dengan anggaran dua serangan setiap minggu.

Israel mendakwa Iran yang membantu kerajaan rejim Presiden Bashar al-Assad di Syria, mahu menubuhkan ketumbukan tenteranya yang kekal di sana, membentuk satu lagi pasukan anti-Israel selepas Hezbollah di Lubnan.

Selain Russia, Iran adalah sekutu rapat Assad sepanjang perang tujuh tahun di negara itu dengan menghantar penasihat tentera, selain senjata dan peralatan serta kumpulan bersenjata Syiah.

Russia mengambil langkah tidak mengendahkan serangan udara Israel itu.

Isnin lalu, Menteri Pertahanan Israel, Avigdor Lieberman, memberi bayangan rejim Zionis juga akan menyerang sasaran ketenteraan Iran di Iraq selepas ada laporan menyatakan Teheran memasang peluru berpandu jarak jauh di negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 1:59 PM