PENDUDUK mengangkat tiang elektrik yang tumbang. - EPA
Agensi

Manila: Sekurang-kurangnya 49 maut di Filipina susulan kemusnahan disebabkan Taufan Mangkhut, kebanyakannya dalam kejadian tanah runtuh di kawasan pergunungan, kata penasihat presiden, semalam.

Filipina baru menghitung jumlah kematian akibat taufan, namun polis mengesahkan sekurang-kurangnya 30 orang mati selepas Mangkhut membadai Luzon, utara negara itu, kelmarin.

Di pekan Baggao, ribut memusnahkan rumah selain mengakibatkan bekalan elektrik terputus. Beberapa jalan terputus hubungan akibat tanah runtuh atau dibanjiri air.

Ladang di sekitar Luzon yang juga pengeluar utama padi serta jagung negara itu, dilimpahi air berlumpur seterusnya merosakkan tanaman hanya sebulan sebelum musim menuai.

Petani, Mary Anne Baril, 40, memberitahu AFP: “Sudahlah kami memang miskin, ini pula berlaku. Kami tiada harapan lagi.”

Reuters melaporkan, kebanyakan kematian berlaku di wilayah Cordillera di Luzon dan empat lagi di wilayah Nueva Vizcaya disebabkan tanah runtuh.


ANGGOTA tentera laut menyusun bekalan bantuan untuk penduduk yang terjejas di Tuguegarao. - EPA

Satu lagi kematian akibat dihempap pokok tumbang di Ilocos Sur, kata Francis Tolentino.

Kiraan itu menggambarkan keadaan pada jam 9 pagi ini, kata Tolentino yang juga penyelaras utama tindak balas bencana, menambah laporan dari kawasan lain di utara Luzon, masih diterima.

Ribut itu mendarat di Guangdong, China, semalam selepas melanda Hong Kong serta Macau. Dengan kelajuan angin 200 kilometer sejam, Mangkhut dianggap ribut terkuat membadai rantau ini, tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 9:39 AM