X
TRAK yang membawa 100 mayat di Guadalajara. FOTO/AFP
TRAK yang membawa 100 mayat di Guadalajara. FOTO/AFP
AFP

GUADALAJARA: Pihak berkuasa Mexico berusaha mencari sebuah parkir kosong semalam untuk menempatkan sebuah trak membawa lebih 100 mayat tidak dikenali yang mencetuskan kemarahan penduduk bandar itu kerana tidak tahan dengan bau mayat berkenaan.

Treler dilengkapi sistem penyejuk itu disewa apabila rumah mayat di bandar kedua terbesar Mexico itu sudah penuh dan diletakkan di sebuah gudang selama dua minggu di satu kawasan miskin Duraznera di pinggir bandar.

Ia mencetuskan kontroversi selepas penduduk mengadu tidak tahan dengan baunya selain menarik banyak lalat di lokasi itu.

Pihak berkuasa meletakkan trak itu di sebuah parking kosong di Tlajomulco, sebuah lagi kawasan miskin jauh dari pusat bandar sebelum penduduknya pula membuat bantahan sejak Sabtu lalu.

Pegawai kemudian memindahkannya ke sebuah tempat penyimpan di pusat bandar dan kekal di situ hingga semalam.

“Kami tidak mahu ia berada di sini. Mereka perlu letakkannya di tempat lain. Ada ramai kanak-kanak di sini. Bau dari treler itu amat busuk dan mungkin menyebabkan kami sakit,” kata Jose Luis Tovar yang tinggal berdekatan.

Pihak berkuasa di negeri barat Mexico, Jalisco, memberitahu bahawa mereka sedang berusaha mencari penyelesaian.

Menteri Dalam Negeri Jalisco, Roberto Lopez mengecam keputusan memindahkan mayat itu dari satu tempat ke tempat lain.

Beliau menegaskan, sesiapa yang bertanggungjawab dalam perkara itu dalam pentadbiran negeri akan dikenakan hukuman berat.

“Keadaan ini menunjukkan ada pegawai tidak sensitif kepada perkara tertentu termasuk keluarga mayat yang belum dituntut itu,” katanya dalam sidang akhbar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 4:08 PM