TRELER yang berhawa dingin menyimpan 273 mayat undang bau loya kepada penduduk setempat. FOTO/AFP
TRELER yang berhawa dingin menyimpan 273 mayat undang bau loya kepada penduduk setempat. FOTO/AFP
AFP

Guadalajara (Mexico): Seorang pendakwa dipecat kerajaan negeri selepas skandal membabitkan treler sejuk beku membawa 273 mayat mereput dan busuk terpaksa dibawa mengelilingi Guadalajara kerana tiada ruang di rumah mayat bandar itu.

Gabenor Jalisco, Aristoteles Sandoval ketika mengumumkan keputusan itu berkata: “Saya tidak dapat bersabar dengan kesilapan seperti ini yang begitu mengejutkan dan menjijikkan orang ramai.”

Ketua koroner negeri itu dipecat awal minggu ini berhubung kejadian sama.

Mayat berkenaan terpaksa disimpan dalam trak sejuk beku itu kerana rumah mayat di bandar kedua terbesar Mexico sudah penuh. Pihak berkuasa pada mulanya meletakkan jumlah mayat sebanyak 157, tetapi semalam memberi bilangan sebenarnya 273.

Treler itu terpaksa diparkir dua minggu di luar gudang di kawasan kejiranan miskin di pinggir bandar sehingga penduduk mengadu tidak tahan dengan bau busuk dan lalat yang menghurung.

Pihak berkuasa kemudian memindahkannya ke lot parkir lain di kawasan kejiranan miskin berbeza sehingga penduduk di situ turut memprotes, Sabtu lalu.

Ia kemudian dipindahkan pula ke pusat simpanan pendakwaan di ibu negara dan kini masih di situ.

Pihak berkuasa berkata, mayat berkenaan mangsa kes bunuh menyebabkannya tidak boleh dibakar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 6:14 PM