ANGGOTA polis memeriksa penyokong bola sepak Bandung, ‘Persib’ ketika aksi menentang Persija Jakarta. FOTO AFP
ANGGOTA polis memeriksa penyokong bola sepak Bandung, ‘Persib’ ketika aksi menentang Persija Jakarta. FOTO AFP
Agensi

JAKARTA: Insiden perbalahan antara penyokong dua kelab bola sepak Indonesia mencetuskan kekecohan selepas seorang dilaporkan mati akibat dibelasah di luar stadium sebelum perlawanan berlangsung.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari kelmarin apabila mangsa, Haringga Sirila, 23, dari Kecamatan Cengkareng, Jakarta Barat dipukul sekumpulan penyokong di luar Stadium Gelora Bandung Lautan Api (GBLA), Bandung.

Tribune News melaporkan, kejadian berlaku beberapa jam sebelum perlawanan yang dijadualkan antara Persib Bandung dan Persija Jakarta bermula pada jam 3.30 petang.

Sebelum itu, terdapat sekumpulan penyokong menjerit bahawa orang yang dikejar itu penyokong Persija Jakarta.

Mangsa yang dikejar sempat meminta tolong daripada peniaga bakso, namun terus dibelasah hingga parah sebelum meninggal dunia.

Jakarta Post melaporkan, kumpulan pemuda itu mengejar mangsa sebelum menumbuk dan menendang kepala mangsa hingga ada yang menggunakan papan kayu serta batu.

Sehingga kini, polis sudah menahan lima suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 10:04 PM