GAMBAR hiasan
Agensi

PEKANBARU: Polis Riau menahan seorang wanita dari daerah Marpoyan Damai di sini, yang hanya dikenali sebagai MA, kerana didakwa menyebarkan berita palsu mengenai kemungkinan berlakunya gempa bumi kuat di media sosial.

Pegawai kanan polis, Komander Gidion Arif Setyawan, berkata MA dipercayai berkongsi berita palsu mengenai gempa bumi berukuran 8.6 magnitud bakal melanda pulau Jawa di akaun Facebook miliknya, pada 25 September, 29 September dan 2 Oktober lalu.

“Keadaan bumi semakin lemah kerana ia terpaksa menampung pembinaan berterusan pelbagai bangunan dan infrastruktur.

“Akibatnya, bencana alam semakin kerap melanda planet ini. Hari kiamat semakin menghampiri kita.

“Segeralah bertaubat dan memohon keampunan daripada Tuhan, anda semua adalah pengkhianat kepada negara,” katanya tanpa merujuk kepada mana-mana individu.

Menurut akhbar Jakarta Post, dalam salah satu mesej di Facebook itu, MA juga berkata, kejadian gempa bumi baru-baru ini yang melanda beberapa wilayah di negara itu adalah satu peringatan daripada Tuhan.

Gidion berkata, status Facebook MA mengakibatkan kekecohan orang ramai, yang mendesak pihak polis mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau.

“Tindakan menyebarkan amaran palsu mengenai bencana alam (susulan gempa bumi di Nusa Tenggara Barat dan Sulawesi Tengah) dianggap tidak wajar dan tidak sesuai ketika ramai pihak dalam kesedihan.

“Ia seperti menyapu garam di luka mangsa (gempa bumi),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 1:35 PM