Pelakon, Tom Hardy dan penulis Kelly Marcel pada tayangan Venom. FOTO REUTERS
Pelakon, Tom Hardy dan penulis Kelly Marcel pada tayangan Venom. FOTO REUTERS
AFP

LOS ANGELES : Filem aksi watak jahat, ‘Venom’ mendominasi carta filem pecah panggung sepanjang minggu lalu dengan hasil kutipan tiket sebanyak AS$80 juta (RM332 juta).

Filem dibintangi Tom Hardy itu mengisahkan seorang wartawan yang menerima kehadiran gen makhluk asing dalam tubuhnya dan membolehkan beliau memiliki kuasa luar biasa.

‘Venom’ adalah satu watak penjahat dalam siri komik Spider-Man.

Pemantau industri perfileman, Exhibitor Relations menyatakan, filem berkenaan telah meraih kutipan AS$80.3 juta (RM334 juta) setakat ini.

Satu lagi pemantau industri, Box Office Mojo berkata, jumlah berkenaan sudah memadai untuk mengatasi rekod pembukaan hujung minggu Oktober sebanyak AS$420 juta (RM83 juta).

Menduduki tangga kedua adalah filem bercorak muzikal romantik, ‘A Star Is Born’ yang mengutip AS$42.9 juta (RM178 juta) sepanjang hujung minggu lalu, kata Exhibitor Relations.

Filem ini adalah yang ketiga dihasilkan semula sejak tahun 1937 dengan tajuk yang sama selain menjadi arahan sulung aktor Bradley Cooper.

Beliau turut membuat penampilan khas dalam filem terbabit sebagai ahli muzik yang jatuh cinta dengan seorang penyanyi lakonan bintang pop, Lady Gaga.

Tempat ketiga dibolot filem animasi terbitan Warner Bros, ‘Smallfoot’ yang mengutip AS$414.4 juta (RM59 juta) menjelang minggu kedua tayangan, mengisahkan sekumpulan Yeti yang memasuki dunia manusia, menggunakan suara aktor Channing Tatum, pemain bola keranjang LeBron James dan pelakon veteran, Danny DeVito.

Menduduki tempat keempat ialah juara carta minggu lalu iaitu ‘Night School’ keluaran Universal selepas hanya mampu meraih AS$12.5 juta (RM52 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 5:55 PM