GAMBAR hiasan

AFP

MADRID: PENDEDAHAN terbaru perbualan sulit bekas ketua polis yang dilabel pemeras ugut dengan ‘golongan berkuasa’ sekali lagi menggemparkan Sepanyol termasuk yang menunjukkan Menteri Kehakiman menuduh hakim serta pendakwa raya ditemani pelacur bawah umur dalam satu kunjungan ke luar negara.

Sebelum ini, pendedahan sebahagian rakaman itu mencetuskan kemarahan keluarga diraja kerana menunjukkan Corinna zu Sayn-Wittgenstein, bekas kekasih sulit bekas Raja Juan Carlos I, dikatakan mengakui menggunakan namanya dan seorang sepupu untuk menyembunyikan hartanah miliknya dalam akaun bank Maghribi dan Switzerland.

Bekas ketua polis itu ialah Jose Manuel Villarejo, 67, yang disyaki terbabit dalam rasuah besar-besaran selain menggunakan peras ugut sebagai taktik bagi pihak syarikat atau individu kaya selama beberapa dekad.

“Villarejo mengetuai satu pasukan polis sulit yang memanipulasi sistem kehakiman dengan memadamkan atau meminda kes perundangan bagi pihak syarikat besar atau jutawan,” kata wartawan jenayah, Carlos Enrique Bayo, bekas pengarah akhbar Publico yang mendedahkan aktiviti Villarejo pada 2015.

Bagi Bayo, Villarejo tidak bersendirian dalam aktiviti itu ketika Sepanyol dalam proses ke arah demokrasi (pada 1975) yang memakan masa 40 tahun.

Villarejo berada dalam tahanan sejak November 2017 kerana dituduh terbabit dalam pertubuhan jenayah, melakukan pengubahan wang haram dan melanggar arahan pihak berkuasa.

Tidak hairanlah, ramai di kalangan ahli politik, hakim, ahli perniagaan, pegawai polis dan pendakwa raya yang pernah berbual dengan Villarejo takut kepadanya kerana ‘pemeras ugut’ itu merakam secara sulit perbualan mereka.

Terbaru, rakaman sulit itu mendedahkan perbualan Menteri Kehakiman, Dolores Delgado pada majlis makan malam ketika beliau masih pendakwa raya pada 2009.

Delgado didedahkan menghina golongan homoseks ketika berbual dengan rakannya yang mengaku ‘gay’ iaitu Fernando Grande-Marlaska, kini Menteri Dalam Negeri.

Rakaman itu juga menunjukkan Delgado menuduh hakim dan pendakwa raya ditemani gadis bawah umur ketika satu lawatan ke Colombia.

Dalam perbualan mereka, Villarejo dituduh mendabik dada bahawa dia menggunakan sebuah agensi model menggunakan pelacur untuk mendapatkan maklumat daripada ahli politik atau pemimpin perniagaan.

Pembangkang Sepanyol mendesak Delgado meletakkan jawatan tetapi Perdana Menteri, Pedro Sanchez mempertahankan menteri itu dengan berkata kerajaannya menolak peras ugut oleh mana-mana pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 6:30 PM