ANGGOTA keselamatan di konsulat Arab Saudi menutup pagar selepas ketibaan kenderaan diplomatik di Istanbul. - AFP
ANGGOTA keselamatan di konsulat Arab Saudi menutup pagar selepas ketibaan kenderaan diplomatik di Istanbul. - AFP
AFP

ANKARA: Wartawan Arab Saudi yang hilang, Jamal Khashoggi diseksa sebelum dipancung di bangunan konsulat Arab Saudi di Istanbul, lapor akhbar prokerajaan semalam yang mendakwa mendengar bukti rakaman audio pembunuhan berkenaan.

Akhbar Yeni Safak mendakwa mendengar beberapa rakaman audio kejadian itu yang menunjukkan pembunuh Jamal menyeksa lelaki berkenaan dengan memotong jarinya.

Lapor akhbar itu lagi, Jamal yang menjadi kolumnis Washington Post kemudiannya dipancung.

Sebuah lagi akhbar prokerajaan, Sabah pada minggu lalu melaporkan jam pintar Apple Watch yang dipakai Jamal merekodkan kejadian dia disoal-siasat, diseksa sebelum dibunuh.

Menurut Yeni Safak, suara konsulat Arab Saudi ke Istanbul, Mohammed al-Otaibi didengari dalam satu rakaman audio ketika Jamal diseksa dengan berkata: “Lakukan ini di luar. Kamu membuatkan saya mendapat masalah.”

Lapor akhbar itu lagi, dalam satu rakaman seorang individu tidak dikenali memberi amaran kepada Mohammed: “Baik diam, jika kamu mahu hidup apabila balik ke Arab Saudi.”

Kehilangan Jamal mencetuskan misteri apabila dia lesap selepas masuk ke pejabat konsulat Arab Saudi itu untuk mengambil dokumen rasmi menjelang perkahwinannya dengan tunangnya di Turki.

Pihak berkuasa Turki percaya Jamal dibunuh oleh sepasukan khas 15 Arab Saudi tetapi Riyadh menafikan tuduhan itu yang dianggap sebagai tidak berasas.

Jamal dilaporkan mencetuskan kemarahan Riyadh kerana sering mengkritik pemerintahan Arab Saudi dalam artikelnya.

Washington Post pernah melaporkan dengan memetik sumber Amerika Syarikat dan Turki mengenai kewujudan rakaman audio yang membuktikan Jamal dibunuh dalam bangunan konsulat sebelum mayatnya dikerat.

Bagaimanapun, ini adalah kali pertama akhbar di Turki mendakwa mendengar rakaman audio berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Oktober 2018 @ 5:59 AM