GAMBAR hiasan
Agensi

HUNAN: Kebergantungan kepada gajet khususnya telefon bimbit nampaknya membawa kepada situasi ‘hidup atau mati’ kepada seorang remaja China.

Ini berikutan laporan portal berita kelmarin mengenai tindakan remaja itu mengugut gurunya untuk membunuh diri jika telefon bimbitnya yang dirampas guru terbabit tidak dipulangkan.

Guru terbabit merampas telefon remaja itu pada Jumaat lalu selaras peraturan sekolah selepas melihatnya bermain ‘game’ dengan gajet itu pada waktu rehat.

Remaja itu mengunjungi pejabat guru berkenaan pada sebelah petang dan mendesak diberikan telefon bimbitnya tetapi guru terbabit enggan dengan merujuk kepada peraturan sekolah.

Pada sesi ulangkaji mata pelajaran selepas itu, guru berkenaan mendapat tahu remaja terbabit cuba terjun dari tingkap tingkat tujuh sekolah tetapi dihalang rakan sekelasnya.

Guru itu segera memulangkan telefonnya dan memaklumkan kejadian kepada ibu bapanya.

Remaja kini dilaporkan sudah berhenti dari sekolah itu yang terletak di Hunan, wilayah selatan China, lapor South China Morning Post.

Pihak berkuasa China baru-baru ini mula mengambil tindakan membanteras aktiviti bermain ‘game’ melalui telefon bimbit bagi membanteras ketagihan di kalangan kanak-kanak di kawasan pedalaman.

Firma gergasi teknologi, Tencent sudah mengumumkan rancangan untuk menggunakan teknologi pengesan wajah bagi mengesahkan jika kanak-kanak bermain ‘game’ di telefon bimbit.

China mempunyai 788 juta pengguna internet yang menggunakan gajet mudah alih dan 18.2 peratus daripada mereka berusia 10 hingga 19 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Oktober 2018 @ 3:43 PM