KENNY menunjukkan tangannya yang digigit jerung. FOTO/AGENSI
AFP

SYDNEY: Seorang peluncur air yang digigit jerung di pantai di Australia berjaya menyelamatkan diri selepas menumbuk haiwan itu berkali-kali sehingga ia melepaskan mangsa.

Paul Kenny sedang meluncur di Pantai Samurai, kira-kira 200 kilometer ke utara Sydney apabila beliau bertembung secara tidak sengaja dengan jerung itu.

“Ia menggigit lengan saya dan apa yang boleh saya lakukan cuma menumbuk sehingga ia melepaskan lengan saya.

“Apabila terlepas, saya nampak siripnya satu kilometer dari situ. Saya berpatah balik secepat mungkin,” kata Kenny, 50.

Jurucakap perkhidmatan ambulans tempatan memberitahu paramedik merawat kecederaan dialami Kenny di bahagian atas lengan sebelum dibawa ke hospital berhampiran.

Kenny berkata, beliau mengikut jejak peluncur air hebat Australia yang sudah bersara, Mick Fanning, yang menjadi tajuk utama dunia apabila bertarung dengan jerung secara langsung di televisyen ketika bertanding di Afrika Selatan pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 5:51 PM