Ronaldo (kanan) atasi Selena paling ramai pengikut Instagram. FOTO REUTERS
Ronaldo (kanan) atasi Selena paling ramai pengikut Instagram. FOTO REUTERS
Agensi

SAN FRANCISCO : Bintang bola sepak Cristiano Ronaldo mengatasi penyanyi Selena Gomez sebagai paling ramai pengikut di Instagram, walaupun baru-baru ini dikaitkan dengan tuduhan merogol seorang wanita pada 2009.

Atlet berusia 33 tahun itu dituduh merogol Kathryn Mayorga, 34, dalam bilik air di Palms Hotel and Casino di Las Vegas pada awal pagi 13 Jun 2009.

Kathryn mendakwa dibayar AS$375,000 (RM1.6 juta) supaya tidak menceritakan kejadian itu, sebelum memutuskan mendedahkannya, beberapa bulan lalu.

Sebelum ini, Selena, 26, bintang paling popular Instagram sejak 2016 namun mengumumkan baru-baru ini ‘berehat’ daripada laman media sosial itu.

Dalam kenyataan terakhirnya di Instagram pada 24 September lalu, Selena menulis: “Terkini: Berehat daripada media sosial. Sekali lagi. Walaupun saya berterima kasih dengan sosial media kerana membolehkan kita bersuara, saya juga gembira mampu mengundur seketika untuk menikmati kehidupan sepenuhnya.”

Sejak pengumuman Selena itu, Ronaldo memuat naik 20 gambar baru ke Instagram yang nampaknya melonjak kedudukannya dalam platform media sosial berkenaan.

Hanya beberapa jam selepas peguam Kathryn memfailkan dokumen berhubung dakwaan terhadapnya, Ronaldo memuat naik video ke Instagram memaparkannya berkata: “Tidak, tidak, tidak. Apa yang mereka katakan hari ini? Palsu, berita palsu.”

Ronaldo meraih £37 juta (RM197 juta) daripada pengiklanan tahun lalu, lapor Forbes, bererti dakwaan Kathryn itu menggugat pendapatannya itu.

Bagaimanapun, tuduhan berkenaan nyata tidak menjejaskan popularitnya, malah ada swafotonya mendapat lebih 8 juta ‘like.’

Polis Las Vegas baru-baru ini mengesahkan membuka semula siasatan kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 5:24 PM