RUMAH kediaman keluarga Gail Cleavenger menetap. -Foto Agensi
RUMAH kediaman keluarga Gail Cleavenger menetap. -Foto Agensi
Agensi

FLORIDA (AMERIKA SYARIKAT): Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun didakwa membunuh dan menyembunyikan mayat ibunya di bawah pendiangan di sebuah gereja selepas pertengkaran disebabkan markah peperiksaannya yang buruk.

Gregory Logan Ramos, 15, mengaku mencekik mati ibunya, Gail Cleavenger, 46, di kediaman mereka sebelum remaja itu berpakat dengan dua rakannya supaya menyepahkan rumah berkenaan supaya kelihatan seperti mangsa mati dalam rompakan, lewat Khamis lalu.

Syerif Volusia, Mike Chitwood berkata, dua beranak berkenaan bertengkar disebabkan markah peperiksaan D diperoleh remaja berkenaan dengan Gail sempat menghubungi suaminya yang bertugas di Seattle untuk mengadu perkara itu, lapor Daily Mail.

“Ramos kemudian masuk ke bilik mangsa yang sedang tidur sebelum mencekiknya mati. Motif kejadian memang akibat kemarahan,” katanya.

Menurutnya, Ramos mengaku menggunakan kereta sorong untuk mengalihkan mayat Gail dan memandu ke gereja yang terletak 2.4 kilometer untuk menanamnya di pendiang di situ.

Pada masa sama, dua rakannya yang berusia 17 tahun ‘memecah masuk’ ke rumah itu dan mengambil beberapa barangan supaya nampak seperti ada rompakan berlaku. Ramos kemudian menghubungi polis meminta bantuan.

Bagaimanapun, katanya, pihak berkuasa dari awal menghidu sesuatu tidak kena dengan aduan berkenaan dan akhirnya berjaya mendapat pengakuan remaja itu.

Menurutnya, mayat mangsa ditemui pada pagi Sabtu.

“Ini kes paling menyedihkan dan mengejutkan pernah saya lihat sepanjang kerjaya saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 5:12 PM