PESAWAT Boeing 747-400 SuperTanker yang digunakan untuk memadam kebakaran hutan Camp Fire. - AFP
Agensi

California: Jumlah korban akibat kebakaran hutan di California mencecah 25 orang semalam, termasuk dua mangsa di Selatan California dengan mayat mangsa kebanyakannya ditemui rentung dalam rumah dan kereta.

Menurut pihak berkuasa, kira-kira 110 orang dikhuatiri hilang sejak kebakaran hutan yang digelar Camp Fire itu, bermula empat hari lalu.

Sebahagian besar mangsa yang terbunuh ialah di Daerah Butte, termasuk sembilan mayat yang ditemui di bandar Paradise dan dua mayat ditemui dalam kereta di Selatan California.

Bandar Paradise di kawasan pergunungan yang terletak 145 kilometer di utara Sacramento, dilaporkan musnah sama sekali.

Daily Mail melaporkan, menurut polis, empat mayat ditemui di Concow dalam dua kereta dan dua rumah manakala 10 mayat lagi ditemui di Paradise semalam, iaitu tujuh di dalam rumah dan tiga di luar.

Reuters melaporkan, jurucakap Jabatan Perlindungan Hutan dan Kebakaran California, Scott Maclean berkata, kebakaran hutan itu memusnahkan 6,700 rumah dan premis perniagaan di Paradise.

Menurut polis, api merebak pantas ke Paradise menyebabkan orang ramai terpaksa meninggalkan kenderaan masing-masing dan berjalan kaki bagi menyelamatkan diri.

Beberapa mayat mangsa sebelum ini ditemui berhampiran kenderaan mereka yang terbakar.

Sehingga semalam, kebakaran itu memusnahkan kawasan seluas lebih 40,500 hektar.

Kira-kira 800 kilometer di selatan, satu lagi kebakaran hutan mengancam ribuan rumah di Malibu menyebabkan pihak berkuasa mengarahkan hampir suku juta penduduk berpindah, termasuk penduduk di Los Angeles dan Ventura.

Setakat ini kebakaran hutan itu memusnahkan 177 rumah dan premis lain, membabitkan kawasan seluas hampir 33,600 hektar.


KEBAKARAN hutan Camp Fire ketika memusnahkan bandar Paradise di California, sejak kelmarin. - AFP

Setakat ini, pihak berkuasa menemui dua mayat namun masih terlalu awal untuk menentukan mereka maut akibat kebakaran hutan atau sebab lain.

Sementara itu, pihak berkuasa menggunakan pesawat Global SuperTanker, Boeing 747 yang diubah suai untuk kerja memadam kebakaran Camp Fire.

Pesawat SuperTanker milik syarikat persendirian itu sudah melakukan sekurang-kurangnya lima penerbangan di atas kebakaran Camp Fire.

Ia mempunyai keupayaan sekali ganda membawa air berbanding pesawat lain iaitu sehingga 72,600 liter dan mampu terbang sehingga 965 kilometer sejam.

Pesawat itu boleh menggugurkan air, gel dan buih atau kombinasi dua bahan terbabit dengan proses penyediaan di darat sebelum terbang hanya mengambil masa setengah jam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 1:01 PM