Skip this ad x
LAPAN pemandu teksi bertindak bunuh diri kerana masalah hutang. FOTO/AGENSI
Agensi

NEW YORK: Seorang lagi pemandu teksi bertindak membunuh diri di kota 'Big Apple' kerana mendapati tidak dapat menampung kehidupan, kata pegawai, semalam.

Roy Kim, 58, dari Bayside, Queens, dipercayai bertindak demikian kerana beban hutang dan menjadi pemandu teksi ke-8 membunuh diri dalam tempoh setahun, kata pegawai Suruhanjaya Teksi dan Limosin (TLC).

Kim didapati menggantung diri menggunakan tali pinggang di kediamannya pada 5 November lalu, kata Pejabat Pemeriksa Perubatan. Tiada nota menceritakan tindakannya didapati di tempat kejadian.

Kim baru saja memiliki lencana pemanduan teksi tahun lalu dan menawarkan khidmat teksi sewaan.

Dia menanggung beban hutang sebanyak AS$500,000 (RM2 juta), kata rakannya, lapor portal New York Post.

"Dia banyak berhutang dalam proses mendapat lencana itu," kata rakan Kim, Young Lee, yang memberitahu Kim mendapat pelanggan di lapangan terbang.

"Dia pada mulanya untung tetapi lama kelamaan kehabisan wang. Semua pemandu teksi kini dalam keadaan sukar," katanya lagi.

Pemandu teksi sewa mendapati khidmat mereka semakin kurang diperlukan sejak beberapa tahun lalu dan ramai daripada mereka menyalahkannya atas kehadiran firma seperti Uber dan Lyft.

Pesuruhjaya TLC, Meera Joshi, mengucapkan takziah kepada rakan dan keluarga Kim serta berjanji mencari jalan lain bagi membantu pemandu teksi.

“Tragedi ini menunjukkan pentingnya mencari jalan baru bagi kerajaan, industri dan peminjam bekerjasama menghadapi cabaran kewangan kepada penyewa lesen pemanduan.

"Mengubah suai, menstruktur semula dan menurunkan kadar pinjaman boleh memberi ruang memastikan khidmat teksi diteruskan di New York untuk tahun tahun akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 4:44 PM