Bot diraja Thailand melakukan operasi pencarian. FOTO Agensi
Bot diraja Thailand melakukan operasi pencarian. FOTO Agensi
Reuters

BANGKOK: Thailand hari ini mengeluarkan bangkai kapal yang mengorbankan 47 pelancong China Julai lalu, sebagai sebahagian daripada siasatan mencari punca mengapa ia karam, kata penguasa.

“Phoenix adalah satu bukti penting untuk menentukan punca kemalangan,” kata Timbalan Ketua Biro Polis Pelancong, Mejar Jeneral Surachate Hakparn kepada Reuters.

“Kapal Phoenix tenggelam di laut lepas berhampiran pantai barat pulau Phuket Thailand ketika membawa 101 penumpang, 12 daripadanya kru manakala 89 lagi pelancong. Difahamkan kapal itu dalam perjalanan membawa pelancong ke lokasi snorkelling.

Usaha awal untuk mengeluarkan bangkai kapal berkenaan terhalang akibat cuaca buruk.

Nahas Phoenix adalah bencana terburuk membabitkan pelancong di Thailand sejak sekian lama mengakibatkan penurunan mendadak dalam kemasukan pelancong China pada bulan berikutnya.

Kerajaan Thai berusaha keras untuk memulihkan pelancongan di negara itu termasuk memperkenalkan skim pengecualian ke atas yuran visa.

“Kami mahukan kebenaran di sebalik nahas yang melanda Phoenix. Usaha ini menunjukkan komitmen kerajaan terhadap waris korban sekali gus membantu memulihkan keyakinan pelancongan di Thailand,” kata Surachate.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 November 2018 @ 9:40 PM