X
SEORANG banduan yang berjaya ditangkap selepas melarikan diri dari sebuah penjara di Bandar Aceh kelmarin. - EPA
SEORANG banduan yang berjaya ditangkap selepas melarikan diri dari sebuah penjara di Bandar Aceh kelmarin. - EPA
Agensi

BANDA ACEH: Seramai 113 banduan melarikan diri dari sebuah penjara di bandar ini selepas mereka merusuh dan memecahkan pagar serta tingkap ketika berkumpul untuk bersolat, kata pegawai semalam.

Banduan terbabit lari dari penjara di sini, malam kelmarin tetapi sebahagiannya berjaya ditangkap selepas polis melancarkan operasi memburu mereka.

“Penjara itu menempatkan 726 banduan dan seramai 113 daripadanya melarikan diri. Kami berjaya menangkap 23 banduan dan masih memburu mereka yang terlepas,” kata jurucakap Kementerian Kehakiman, Ade Kusmanto.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika banduan berkumpul di luar sel untuk solat berjemaah tetapi sebahagian merusuh dengan memecahkan pagar penjara menggunakan batang besi sebelum melarikan diri.

Jurucakap polis memberitahu, banduan yang melarikan diri itu ditangkap di beberapa lokasi sekitar penjara seperti di kawasan perumahan, loteng rumah penduduk dan di kawasan sawah.

Tribunnews melaporkan semua banduan itu yang majoritinya pesalah dadah mengambil kesempatan melarikan diri ketika hujan lebat dan keadaan yang gelap.

Banduan berkenaan dilapor merosakkan pagar kawat dan memecahkan tiga jendela berjeriji besi di bilik tetamu sebelum melarikan diri di kawasan sawah yang gelap di depan penjara.

Ketika kejadian terdapat 10 pegawai penjara yang mengawal banduan berkenaan.

Polis melancarkan operasi besar-besaran memburu banduan yang bolos dan mengetatkan kawalan di penjara terbabit.

Kejadian banduan melarikan diri dari penjara sering berlaku di Indonesia yang berpunca daripada keadaan pusat tahanan yang terlalu sesak dan usang serta kekurangan pengawal.

Pada Mei tahun lalu, lebih 400 banduan melarikan diri dari penjara selepas solat jemaah di sebuah pusat tahanan yang sesak di wilayah Riau.

Sebulan kemudian, puluhan banduan melarikan diri dengan berenang selepas sebuah penjara di pulau Sumatera dilanda banjir dan dindingnya runtuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Disember 2018 @ 6:30 AM