GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
AFP

NEW YORK: Lebih 150 wanita dan gadis tampil sejak 12 hari lalu bagi mendapatkan bantuan di Sudan Selatan selepas dirogol atau menderita bentuk keganasan seksual lain, kata ketua tiga agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.

Kumpulan lelaki bersenjata, kebanyakannya berpakaian seragam, melancarkan serangan itu berhampiran bandar raya Bentiu, menurut kenyataan bersama ketua UNICEF, Henrietta Fore; ketua agensi bantuan PBB, Mark Lowcock dan Dana Kependudukan PBB, Natalia Kanem.

Tiga agensi berkenaan mengutuk ‘serangan ganas’ itu dan menggesa pihak berkuasa Sudan Selatan memastikan penjenayah dibawa ke muka pengadilan.

Pertubuhan Doctors Without Borders (MSF), minggu lalu berkata 125 wanita dan gadis dirogol ketika berjalan ke pusat pengedaran makanan yang didirikan agensi bantuan antarabangsa.

Sejak perang pada 2013, Sudan Selatan menyaksikan peningkatan membimbangkan keganasan seksual.

Pada separuh pertama 2018, 2,300 kes dilaporkan, majoritinya mensasarkan wanita dan gadis.

Lebih 20 peratus mangsa ialah kanak-kanak, menurut kenyataan PBB.

Selain dirogol, MSF melaporkan ramai mangsa dirotan, dipukul atau dibelasah dengan kayu dan belakang raifal, manakala pakaian, kasut, duit dan kad membolehkan mereka mendapatkan makanan bantuan dicuri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 2:16 PM