X
BERRY wajib menonton filem Bambi paling kurang sekali sebulan. -Foto Walt Disney
BERRY wajib menonton filem Bambi paling kurang sekali sebulan. -Foto Walt Disney
AFP

CHICAGO : Seorang pemburu prolifik dijatuhkan hukuman menonton tayangan animasi klasik Walt Disney, Bambi berulang kali oleh mahkamah di sini sepanjang menjalani hukuman penjara.

Animasi menyayat hati itu mengisahkan seekor anak rusa yang kehilangan ibu akibat dibunuh pemburu.

David Berry Jr akan dipaksa menonton animasi terbabit sekurang-kurangnya sekali setiap bulan sepanjang menjalani hukuman penjara, satu hukuman yang disifatkan pegawai penguat kuasa sebagai siasatan pemburuan haram terpanjang pernah disaksikan.

Lembaga Pemuliharaan Missouri yang mengumumkan hukuman berkenaan pada 13 Disember lalu berkata, Berry dan dua anggota keluarga lain ditahan atas tuduhan membunuh ratusan ekor rusa selama tiga tahun,

“Rusa itu adalah piala yang diburu secara haram, kebanyakannya pada waktu malam untuk mendapatkan kepala manakala badan haiwan itu akan dibiarkan begitu sahaja,” kata pendakwa Don Trotter dari Lawrence County, Missouri.

Syarikat Walt Disney memukau pelbagai lapisan generasi dengan animasi menarik mereka mengenai Bambi, seekor anak rusa bermata bundar yang kehilangan ibu, sejak mula diterbitkan pada Ogos 1942.

Imej Bambi berbaring di sebelah bangkai rusa betina selepas ibu haiwan terbabit dibunuh pemburu kekal menjadi adegan ikonik dalam sejarah perfileman dan membantu menangani persoalan mengenai kematian di kalangan kanak-kanak, selain membimbing mereka melalui episod menyedihkan itu.

Bambi sering mendahului senarai filem paling menyedihkan di pawagam malah majalah Times pernah menyenaraikan animasi berkenaan dalam 25 filem seram terbaik sepanjang masa bersama ‘Frankenstein’, ‘The Exorcist’ dan ‘Night of the Living Dead’.

Hakim Robert George turut memerintahkan Berry menjalani hukuman penjara selama setahun dan mengarahkan sherif di penjara Lawrence County mengadakan tayangan filem itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 1:30 PM