ANTARA mangsa tsunami selat Sunda di sepanjang pantai Carita yang meninggal dunia. FOTO AFP
AFP

CARITA, Indonesia: Sekurang-kurangnya 62 orang meninggal dunia dan 584 yang lain cedera apabila tsunami susulan letusan gunung berapi, tanpa amaran melanda kawasan pantai pelancongan dan perairan di Selat Sunda, kata pegawai agensi bencana tempatan.

Jurucakap Agensi Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho berkata, ratusan bangunan musnah disebabkan ombak yang melanda kawasan perairan selatan Sumatera dan barat Pulau Jawa, kira-kira jam 9.30 malam waktu tempatan.

Keadaan itu menyebabkan pelancong dan penduduk yang berada di tempat kejadian lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri.

Pasukan pencari dan penyelamat berusaha mencari 584 orang lagi mangsa yang cedera di bawah runtuhan. Setakat ini 20 orang dilaporkan hilang daripada tiga wilayah.

Gambar yang disiarkan televisyen tempatan menunjukkan gelombang kuat itu memusnahkan atap besi, kayu, serpihan dan sisa runtuh dari kawasan pedalaman di pantai Carita, sebuah kawasan pelancongan terkenal di pantai barat Jawa.

Menurut pihak berkuasa, tsunami yang berlaku mungkin tercetus oleh gelombang pasang surut yang tidak normal akibat bulan penuh dan tanah runtuh di dasar laut susulan letusan gunung berapi Anak Krakatoa.

“Gabungan ini menyebabkan tsunami tiba-tiba melanda pantai,” kata Sutopo sambil menambah agensi geologi Indonesia sedang berusaha menentukan punca ia berlaku dan angka kematian dijangka meningkat.

Rakaman video yang disiarkan di Sutopo di media sosial menunjukkan penduduk panik dan masing-masing melarikan diri ke kawasan lebih tinggi.

Terdahulu, pihak berkuasa Indonesia mendakwa gelombang itu bukan tsumai tetapi gelombang pasang surut dan meminta agar masyarakat tidak panik.

Sutopo kemudian meminta maaf berikutan berlakunya kesilapan itu di Twitter. Tidak berlakunya gempa bumi menyukarkan untuk menentukan punca awal kejadian itu.

“Sekiranya terdapat kesilapan awal, kami minta maaf,” tulisnya.

Lagi berita berkaitan Tragedi Tsunami Sunda

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Disember 2018 @ 1:52 PM