SEBUAH rumah yang musnah selepas dilanda tsunami selat Sunda. FOTO AFP
Agensi

JAKARTA: Tragedi kemanusiaan cenderung menjadi sesuatu yang tragis di Indonesia kerana lebih 150 juta daripada 245 juta penduduknya tinggal di kawasan gempa bumi dan tsunami.

Sehubungan itu, persediaan menghadapi bencana perlu lebih baik, kata jurucakap Agensi Bantuan Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho, semalam.

Sesuatu perlu dilakukan kerana sistem amaran awal yang ada tidak berfungsi dengan baik kerana peralatannya dicuri, dirosakkan atau sudah rosak kerana ketiadaan penyelenggaraan, katanya lagi.

Sutopo berkata, 148.4 juta warga Indonesia bermastautin di kawasan yang berisiko dilanda gempa bumi manakala 3.8 juta lagi di kawasan berisiko tsunami.

"Oleh itu, usaha mencegah bencana memerlukan sesuatu dibina atau dibangunkan bagi tujuan itu," kata Sutopo, lapor Kyodo News.

Beliau membuat ulasan itu ketika memberi taklimat kepada wartawan mengenai operasi mencari dan menyelamat di kawasan terbaru dilanda tsunami di kepulauan Jawa dan Sumatera.

Tsunami melanda selepas berlaku runtuhan bawah laut gunung berapi Anak Krakatau di Selat Sunda, Sabtu lalu.

Sehingga semalam, angka korban tsunami mencapai 430 orang dan 159 lagi masih hilang manakala 1,495 orang lagi cedera dan 22,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Disember 2018 @ 5:33 PM