FILEM Aquaman berjaya meraih kutipan kira-kira AS $30.7 juta (RM124.4 juta). FOTO/AGENSI
Agensi

LOS ANGELES: Filem Aquaman berjaya meraih kutipan kira-kira AS $30.7 juta (RM124.4 juta) menerusi tayangannya di Amerika Utara minggu lalu sekali gus mengetepikan beberapa filem box-office lain, kata pemerhati industri, Exhibitor Relations kelmarin.

Filem adiwira komik DC yang baru tiga minggu ditayangkan itu kini dilaporkan sudah mendapat kutipan sebanyak AS $940.7 juta (RM3.8 bilion) di seluruh dunia, lapor Jakarta Post.

Ia menjadikan Aquaman filem adaptasi terbesar syarikat Warner Bros selepas kejayaan The Dark Knight Rises mengutip lebih AS $1 bilion (RM4.1 bilion) pada 2012, lapor Variety.com.

Berada di kedudukan kedua adalah filem thriller terbaru Sony bertajuk Escape Room dengan kutipan AS $18 juta (RM74 juta) sepanjang tiga minggu ditayangkan dibintangi pelakon Logan Miller dan Taylor Russell.

Ia diikuti filem Mary Poppins Returns dengan kutipan AS$15.8 juta (RM65 juta) yang dibintangi Emily Blunt sebagai watak utama.

Selain itu, 10 filem teratas yang disenaraikan termasuk The Mule dengan kutipan berjumlah AS $9 juta (RM37 juta), Vice dan Ralph Breaks the Internet.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 8:58 PM