WANITA yang hanya memakai kemeja-T dan seluar dalam melarikan kereta peronda. Foto Daily Mail
Agensi

OHIO: Polis Peronda Lebuh Raya Ohio menyiarkan rakaman video kamera papan pemuka (dashcam) menunjukkan saat seorang wanita melarikan kenderaan anggotanya selepas mendakwa dirogol.

Menurut pihak berkuasa, kejadian itu berlaku sekitar jam 8.30 pagi, Sabtu lalu, ketika polis menyiasat kemalangan kecil membabitkan lori pikap di Mount Gilead.

Menurut Live Leaks, saksi kejadian memberitahu anggota terbabit, pemandu pikap itu melarikan diri sebelum mereka ternampak seorang wanita terbabit yang hanya memakai kemeja-T dan seluar dalam berjalan di padang berhampiran lalu pergi menangkapnya.

WANITA itu ditahan selepas keretanya terbabas. Foto Daily Mail

Bagaimanapun, wanita itu yang kakinya luka dan berdarah menjerit dia dirogol dan mahu melarikan diri lalu terus menerpa ke arah kenderaan peronda anggota terbabit serta memecut dari situ. Anggota itu yang terkejut pada mulanya berpaut pada kereta berkenaan sebelum terjatuh menyebabkannya mengalami luka ringan.

Kenderaan peronda lain kemudian mengekor wanita itu yang terhenti selepas terlanggar pokok dan terbabas ke tepi jalan. Wanita itu ditahan ketika cuba melarikan diri dan dibawa ke hospital.

Menurut pihak berkuasa, pikap yang terbabit dalam kemalangan kecil itu juga dilaporkan dicuri dari sebuah rumah. Pejabat Syerif Daerah Morrow juga kini sedang menyiasat dakwaan rogol itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 11:06 AM