BOM kereta yang meletup. FOTO/AGENSI
AFP

BOGOTA: 10 maut manakala 65 yang lain cedera apabila sebuah bom kereta meletup di sebuah akademi latihan polis kadet di sini semalam.

Kementerian pertahanan berkata, tindakan keganasan itu adalah insiden terburuk pernah berlaku di ibu kota Colombia sejak 16 tahun lalu.

Serangan itu dilakukan menggunakan sebuah kenderaan yang penuh dengan muatan kira-kira 80 kilogram bahan letupan.

“Seluruh rakyat Colombia menolak keganasan dan kita bersatu untuk menentangnya. Colombia bersedih, tetapi tidak akan tunduk kepada keganasan,” kata Presiden Ivan Duque.

Menurut pihak berkuasa, pengebom yang dipercayai terbunuh dalam serangan itu, menyerang Sekolah Pegawai Jeneral Francisco de Paula Santander di selatan Bogota ketika upacara kenaikan pangkat untuk kadet berlangsung.


ANGGOTA keselamatan mengawal pintu masuk akademi latihan polis. FOTO/AGENSI

Tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab setakat ini, tetapi pendakwa raya, Nestor Humberto Martinez mengesahkan identiti suspek sebagai Jose Aldemar Rojas Rodriguez.

Seorang inspektor kesihatan angkatan tentera Colombia, Fanny Contreras memberitahu radio tempatan, trak itu tiba-tiba masuk ke perkarangan akademi hingga hampir melanggar polis sebelum meledak.

Jun lalu tiga terkorban termasuk seorang wanita Perancis, manakala sembilan lagi cedera dalam satu serangan di sebuah pusat beli-belah di Bogota.

Pihak berkuasa percaya serangan dilancarkan kumpulan berhaluan kiri dikenali sebagai Gerakan Revolusi Rakyat (MRP).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 11:46 AM