FOTO Agensi
FOTO Agensi
Reuters

Bhubaneswar: Enam lelaki ditahan di India selepas dipercayai membunuh seorang wanita bersama empat anaknya termasuk bayi berusia 10 bulan kerana dituduh mengamalkan sihir hingga menyebabkan kematian kanak-kanak perempuan.

Polis berkata, wanita itu dan keluarganya diserang oleh penduduk kampung di rumahnya di selatan negeri Odisha dengan menggunakan peralatan bertani sebelum mayat semua mangsa dibuang ke dalam perigi, lapor Reuters.

“Mereka mengaku melakukan pembunuhan itu dan kemungkinan dua atau tiga orang lagi akan ditahan dalam tempoh beberapa hari lagi,” kata jurucakap polis, Sushant Dash .

Sushant berkata, penduduk kampung menyalahkan wanita terbabit atas kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang kononnya akibat perbuatan sihir.

Berdasarkan Biro Rekod Jenayah Kebangsaan, terdapat 134 kes pembunuhan yang berkaitan memburu ahli sihir pada 2016 dan Odisha mencatatkan kes paling tinggi selepas Jharkhand.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 12:25 AM