GAMBAR hiasan
AFP

SANTIAGO: Sebuah mahkamah, di sini, memenjarakan enam bekas ejen ketika regim pemerintahan diktator Chile, Augusto Pinochet terbabit dalam pembunuhan mantan presiden Eduardo Frei pada 1982.

Hakim Alejandro Madrid menetapkan keputusan itu selepas siasatan dibuat selama 15 tahun selain dua kali pemeriksaan forensik ke atas mayat Frei.

Keputusan mendapati enam defendan terbabit bersalah di atas ‘pembunuhan beracun selepas campur tangan pembedahan’ dan hukuman dikenakan antara tiga hingga 10 tahun.

Frei diangkat sebagai presiden dari 1964 hingga 1970, meninggal dunia disebabkan jangkitan secara tiba-tiba semasa dia dimasukkan ke hospital untuk rawatan hernia pada Januari 1982 ketika berusia 71 tahun.

Pinochet menjadi diktator Chile sejurus selepas rampasan kuasa tentera membunuh pengganti Frei, Salvador Allende, pada 11 September 1973. Pinochet meletak jawatan selepas proses demokrasi pulih di Chile pada 1990.

Hakim menjatuhkan hukuman ke atas doktor, Patricio Silva Garin, sehingga 10 tahun penjara kerana meracun dan penyebab kematian Frei. Doktor, Pedro Valdivia, pula dijatuhi hukuman lima tahun penjara kerana subahat.

Pemandu Frei, Lusi Vecerra Arancibia dan agen perisikan Raul Lillo Gutierrez masing-masing dikenakan hukuman tujuh tahun penjara.

Dua doktor, pakar dalam penjagaan paliatif, Helmar Rosengerg dan Sergio Gonzalez, menerima tiga tahun penjara kerana menyembunyikan jenayah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 1:34 PM