BAPA bayi, Richard Jurado ketika ditemuramah wartawan. FOTO Agensi
Agensi

SUCRE: Seorang bayi dianggap ajaib kerana selepas diisytiharkan mati sebanyak tiga kali, dia ditemui bernafas di dalam keranda oleh ibu bapanya, dalam satu kejadian di Santa Cruz, timur Bolivia.

Menurut Mirror Online, bayi itu dikatakan mati semasa kelahirannya kerana berada di dalam kandungan hanya selama 27 minggu.

Pihak berkuasa Bolivia dilaporkan menyiasat kejadian itu sebagai kes kecuaian perubatan, tetapi pengarah hospital menganggapnya sebagai ajaib.

Pengarah Hospital Federico Urquizo berkata: “Bayi itu dilahirkan tanpa sebarang tanda vital, justeru ia diklasifikasikan sebagai kematian janin. Doktor sekali lagi memeriksa bayi itu bagi mengesahkan keadaannya tetapi tetap sama.

“Sejam kemudian, doktor memeriksanya diikuti dua jam seterusnya tetapi bayi itu masih tidak bernyawa,” katanya kepada media tempatan.

Bayi bernama Dhilan Daren itu, kini sedang dijaga di unit penjagaan rapi hospital.

Bapa bayi, Richard Jurado dikatakan bertemu dengan pendakwa kes itu, Lorgio Viveros, manakala siasatan mengenainya sedang dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 5:55 PM