RUMAH keluarga musnah dalam kejadian berkenaan. - Daily Mail
Agensi

TEXAS: Video seorang remaja berusia 12 tahun yang maut akibat letupan gas di rumahnya di Dallas, Texas didedahkan keluarganya, setahun selepas kematian remaja itu pada 23 Februari tahun lalu.

News.com.au melaporkan, Linda Rogers yang lebih mesra dipanggil ‘Michellita’ gemar merakamkan rutin hariannya ketika bersiap-siap dan pada hari berkenaan dia berasa teruja untuk menyertai pertandingan sorak di sekolahnya.

“Selamat pagi semua. Jam menunjukkan 6.02 pagi. Saya akan bersiap sedia untuk menyertai Persatuan Sorak Kebangsaan hari ini. Saya akan mulakan dengan meluruskan rambut,” katanya sambil berbisik kerana ahli keluarganya masih nyenyak tidur.

Tragisnya, ia perkara terakhir dilakukannya kerana kurang dua minit kemudian berlaku percikan api pada skrin telefon remaja itu sebelum keadaan menjadi gelap.

Kebocoran gas mengakibatkan letupan di rumah keluarga Michellita yang mencederakan ibunya Maria Rogers, bapanya Jose Fiscal, abang dan neneknya manakala Fiscal menemui Michellita tidak sedarkan diri ditimpa almari.

Michellita dikejarkan ke Pusat Perubatan Kanak-kanak Dallas, manakala keluarganya dibawa ke Hospital Parkland Memorial berhampiran. Remaja itu disahkan meninggal dunia sejurus selepas itu pada jam 7.36 pagi.

RAKAMAN terakhir Michellita sebelum letupan itu. - Daily Mail

Daily Mail memetik Dallas Morning News melaporkan, keluarga itu kini merancang untuk menyaman Atmos Energy iaitu syarikat yang bertanggungjawab ke atas saluran paip gas menyebabkan rumah mereka meletup.

Keluarga itu mahu menuntut pampasan berjumlah AS$1 juta (RM4.08 juta) ke atas Atmos Energy yang menafikan mengabaikan kejiranan berkenaan.

Siasatan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan masih diteruskan, namun menurut laporan awal, Atmos menyedari kebocoran gas di kawasan itu pada 1 Januari 2018 iaitu dua bulan sebelum kemalangan yang meragut nyawa Michellita.

Ledakan yang sangat kuat itu menghancurkan rumah mereka dan menyebabkannya ‘lari’ dari kedudukan asal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 9:46 AM