GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

NEW DELHI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang terjatuh ke dalam sebuah lubang sedalam 60.96 meter di Ambegaon, timur Mumbai berjaya diselamatkan selepas usaha mengeluarkan kanak-kanak itu berlangsung selama 16 jam.

DailyMail melaporkan, kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Ravi Pandit Bhil terjatuh ke dalam lubang semasa bermain dengan kawan-kawannya sementara menunggu bapanya tamat kerja di tapak pembinaan jalan raya berdekatan.

Pasukan Bantuan Bencana Kebangsaan (NDRF) bersama polis bertungkus-lumus sepanjang malam menggali lubang untuk menyelamatkan Ravi yang tersekat pada kedalaman 3.048 meter.

Dia dibekalkan oksigen selepas berjaya ditarik keluar dalam keadaan menangis ketakutan dalam operasi yang keseluruhannya mengambil masa 16 jam.

Kemalangan sedemikian dilaporkan sering berlaku sejak kebelakangan ini di seluruh India membabitkan beberapa negeri seperti Tamil Nadu, Bihar dan Madhya Pradesh.

Pada Oktober tahun lalu di Gujerat, seorang budak lelaki berusia 18 bulan tidak dapat diselamatkan dan meninggal di dalam telaga berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 11:14 PM