GAMBAR kiri, sebuah meter parkir yang dirosakkan penjenayah, gambar kanan, penjenayah memecahkan meter parkir untuk mendapatkan duit syiling. FOTO Agensi
Agensi

London: Sekumpulan penjenayah merompak meter letak kereta di bandar raya ini, menggunakan tukul besi dan penyedut hampagas bagi menyedut syiling berjumlah kira-kira 120,000 pound (RM64,9498).

Majlis Perbandaran Kensington dan Chelsea melaporkan kes kecurian itu berlaku sejak 12 bulan lalu dan merancang membendung vandelisme itu dengan menamatkan penggunaan meter parkir berbayar.

Daily Mail melaporkan penjenayah didapati memecahkan meter letak kereta menggunakan tukul besi atau merempuhnya dengan kenderaan sebelum menyedut syiling menggunakan penyedut hampagas melalui lubang yang ditebuk.

Ketua bahagian Pengangkutan, Perancangan dan Jalan Majlis Perbandaran Kensington dan Chelsea, Will Pascall berkata, polis memaklumkan wang yang dicuri dari mesin berkenaan digunakan untuk membiayai kegiatan jenayah, termasuk sindiket dadah dan penyeludupan.

“Kegiatan terbabit sudah menjadi trend dan kami perlu menumpaskannya.

“Antara cara menangani masalah itu ialah melaksanakan pembayaran tanpa tunai,” katanya.

Ada 700 mesin meter parkir di kawasan barat London dan majlis menggesa pemandu membuat bayaran parkir menerusi aplikasi atau sistem telefon.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 10:29 AM