LAUREN dikenali sebagai ‘budak dalam almari’ selepas diselamatkan dari tempat kurungan sempit ini. FOTO Daily Mail
Agensi

Texas (Amerika Syarikat): Seorang wanita yang terkenal ketika berusia lapan tahun selepas diselamatkan daripada menjadi mangsa dera ibu dan bapa tiri, kini berdepan hukuman penjara 60 tahun bagi tiga tuduhan mendera seorang remaja perempuan secara seksual.

Lauren Ashley Kavanaugh, 25, pernah dikenali sebagai The Girl in the Closet (budak dalam almari) selepas diselamatkan daripada almari kotor dan sempit yang menjadi tempat kurungannya pada 2001.

Ketika diselamatkan, berat badan Lauren cuma 11.6 kilogram dan kecederaan dialami akibat didera secara seksual menyebabkan kanak-kanak itu melalui pelbagai pembedahan.

Ibunya, Barbara dan bapa tiri, Kenneth Atkinson masih menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana menyeksanya dan hanya akan dibenarkan parol pada 2031.

Malangnya, Lauren pula kini menghadapi tuduhan serangan seksual terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun selepas dihadapkan ke mahkamah pada Khamis lalu.


KEADAAN Lauren yang kurus kering ketika diselamatkan pada 2001. FOTO Daily Mail

Daily Mail melaporkan, dia ditahan di penjara daerah Denton sejak Disember lalu.

Menurut Dallas News, mangsa Lauren memberitahu polis mereka mengadakan hubungan intim sejak dua bulan lalu selepas berkenalan melalui akaun Facebook, The Lauren Kavanaugh Story milik tertuduh.

Lauren menggunakan akaun berkenaan sebagai platform memberi sokongan dan nasihat serta persahabatan untuk mangsa dera, kata polis. Menurut laporan, perisian syarikat media sosial itu mengesan perbualan yang tidak wajar berlaku antara orang dewasa dengan kanak-kanak lalu memaklumkan pihak berkuasa.

Susulan itu, Lauren ditahan selepas dia sendiri mengaku mempunyai hubungan seksual dengan remaja itu, malah ibu bapa gadis terbabit turut mengakui tertuduh tinggal bersama keluarga mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 6:02 AM