VANESSA kini murung kerana tidak tahan menanggung derita terpaksa makan makanan dalam lokap yang digelar nasi cadong. FOTO Agensi
Agensi

JAKARTA: Artis Indonesia, Vanessa Angel yang ditahan kerana kes pelacuran dalam talian kini murung sehingga mahu ‘mati’ kerana tidak tahan menanggung derita terpaksa makan makanan dalam lokap yang digelar nasi cadong.

Menurut laporan media Indonesia, teman lelakinya, Bibi Ardiansyah, memuat naik status di Instagram mengenai keadaan Vanessa dalam penjara dengan menyatakan artis itu terseksa dengan makanan yang diberi di dalam sel tahanan Polis Daerah Jawa Timur.

“Sebagai rakyat Indonesia, saya ingin bertanya terutamanya wanita. Adakah hukuman penjara sesuai untuk Vanessa? Sudah hampir dua bulan dia diberikan nasi cadong, sehingga membuatkan dia hanya mahu mati! Ya Tuhan,” tulis Bibi Ardiansyah di Instagram.

Vanessa ketika ini ditahan dalam lokap sehingga kesnya dibicarakan nanti.

Tribun News bagaimanapun melaporkan, peguam Vanessa, Milano Lubis yang menolak dakwaan Bibi itu menyatakan artis itu hanya meluahkan rasa tidak puas hati dengan makanan diberi kepadanya.

“Mungkin ketika Bibi melawat Vanessa, dia dihidangkan dengan makanan yang tidak seberapa lalu mengadu kepada Bibi.

“Apa yang dimakan Vanessa sama dengan makanan yang disediakan Polis Daerah Jawa Timur untuk tahanan lain.” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 8:56 PM