ANGGOTA penyelamat Indonesia membawa keluar mayat mangsa banjir di Sentani, berhampiran Jayapura. FOTO EPA
AFP

Jakarta: Sekurang-kurangnya 50 orang dilaporkan maut, manakala 59 lagi cedera dalam banjir kilat susulan hujan lebat dan tanah runtuh di Sentani, Papua sejak semalam.

Jurucakap Agensi Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho berkata, puluhan kediaman penduduk rosak dan jumlah mangsa terjejas dijangka meningkat.

"Banjir sudah surut, namun pasukan mencari dan menyelamat kesukaran memasuki kawasan tertentu kerana pokok tumbang, runtuhan batu dan lumpur," katanya, hari ini.

AFP melaporkan, pihak berkuasa sudah menyediakan khemah untuk penduduk terjejas di Sentani dan mangsa cedera turut diberi rawatan.

Mangsa Lilis Puji Hastuti, 29, berkata, dia dan keluarga membawa barang berharga menyelamatkan diri ke kediaman jiran berhampiran selepas rumahnya dimasuki lumpur.

"Hujan lebat mula turun malam kelmarin dan berterusan sehingga jam 1 pagi. Sukar untuk kami keluar dari kawasan ini kerana jalan tersekat," katanya.


MANGSA dikumpulkan di pusat pemindahan banjir. FOTO EPA

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 4:55 PM