LAPANGAN terbang Dunedin diarah tutup. FOTO Facebook/Dunedin Airport
LAPANGAN terbang Dunedin diarah tutup. FOTO Facebook/Dunedin Airport
AFP

Christchurch: Polis terpaksa menutup lapangan terbang Dunedin hari ini, selepas satu peranti mencurigakan dilaporkan ditemui di landasan.

AFP yang memetik kenyataan polis berkata, pihaknya sudah menghantar pasukan khas di lokasi kejadian untuk meneliti bungkusan terbabit.

“Lapangan terbang Dunedin kini ditutup. Polis dan pasukan khas bergegas ke lokasi kejadian untuk menyiasat bungkusan mencurigakan itu,” kata kenyataan itu.

New Zealand kini dalam keadaan berjaga-jaga selepas seorang pengganas yang dipercayai menetap di Dunedin, melakukan tembakan di dua masjid hingga membunuh 50 orang.

Seorang kakitangan Air New Zealand yang berada di lokasi berkata, bangunan terminal bagaimanapun tidak dikosongkan selain terdapat beberapa penerbangan yang dijadualkan tiba di situ.

Mengikut laman web pengesan penerbangan, Flightaware, pesawat Air New Zealand 691 dari Wellington berlegar-legar di bandar itu hampir sejam sebelum kembali ke destinasinya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 5:55 PM