KERATAN video pelajar sebuah sekolah membuat tarian haka sempena memperingati dua rakan kelas mereka yang terkorban. -Foto Independent.com
Agensi

CHRISTCHURCH: Pelajar di sebuah sekolah ini membuat tarian haka sebagai memperingati dua rakan kelas mereka yang terbunuh dalam serangan pengganas di dua masjid di bandar ini.

Sekumpulan pelajar membuat tarian tradisional penduduk Maori manakala beberapa rakan mereka meletakkan bunga.

Kumpulan itu kemudian disertai berpuluh-puluh yang lain sebagai tanda sokongan terhadap komuniti Islam yang menjadi sasaran dalam serangan pengganas paling kejam dalam sejarah moden New Zealand.

Dalam serangan pada Jumaat lalu, suspek pengganas, Brenton Tarrant melepaskan tembakan di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood menyebabkan seramai 50 jemaah maut termasuk kanak-kanak.

Berpuluh-puluh lagi mangsa cedera dalam serangan berkenaan.

Tarian haka juga dipersembahkan di beberapa lokasi di bandar itu sebagai tanda sokongan kepada mangsa.

Sebelum ini, sekumpulan penunggang motosikal turut membuat persembahan itu di depan Masjid Al Noor.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 9:02 PM