AFP

CHRISTCHURCH: Dua beranak pelarian Syria adalah jenazah pertama yang dikebumikan di Christchurch, New Zealand hari ini selepas ditembak mati dalam serangan keganasan di dua masjid, Jumaat lalu.

Nama mangsa, Khaled Mustafa dan anaknya yang berusia 16, Hamza diumumkan menerusi pembesar suara sebelum jenazah mereka disemadikan di hadapan ratusan orang yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir.

MAYAT mangsa pembunuhan Christchurch dikebumikan.

Keluarganya tiba di New Zealand tahun lalu untuk memulakan kehidupan baru dari keadaan konflik di Syria sebelum dua beranak terbabit ditembak mati di Masjid al Noor.

Adik kepada Hamza, Zaid, 13, yang cedera dalam kejadian itu bagaimanapun terselamat dan dia turut kelihatan di tanah perkuburan sambil berkerusi roda.

Sementara itu, Komisioner Polis, Mike Bush berkata, setakat ini 21 mayat mangsa sudah dikenal pasti dan pihaknya berusaha untuk menyegerakan proses terbabit.

“Proses agak perlahan kerana kita ingin memastikan tidak ada kesilapan berlaku.

Ia adalah satu kesilapan yang tidak boleh dimaafkan sekiranya kami menyerahkan mayat kepada keluarga yang salah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 10:46 AM