KAWASAN tempat perlindungan mangsa Siklon Idai yang berada dalam keadaan kotor. -Foto EPA
KAWASAN tempat perlindungan mangsa Siklon Idai yang berada dalam keadaan kotor. -Foto EPA
AFP

BEIRA: Ancaman penyakit memburukkan lagi keadaan dahsyat yang dihadapi jutaan mangsa berikutan siklon tropika memusnahkan Afrika Selatan 10 hari lalu.

Siklon Idai yang tiba di pantai Mozambique melepaskan angin dan hujan sehingga membanjiri negara miskin itu sebelum meranapkan timur Zimbabwe dengan jumlah kematian seramai 705 orang di kedua-dua negara.

“Kes kolera dan malaria tidak dapat dielakkan. Kami sudah menangani kes malaria di kebanyakan kawasan,” kata Menteri Tanah dan Alam Sekitar, Celso Correia pada taklimat di Beira, 1,000 kilometer di timur laut ibukota Maputo.

Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), Sebastian Rhodes Stampa, pada taklimat itu, memberi amaran bahawa wabak penyakit di kawasan yang tidak dapat diakses ‘benar-benar bermasalah.’

Program Makanan Sedunia pada Jumaat lalu, berkata bencana di Mozambique setanding dengan situasi di Yaman dan Syria walaupun keduanya disebabkan perang saudara.

“Kerajaan sudah menubuhkan pusat rawatan kolera untuk mengurangkan jangkitan kolera. Kita tidak perlu rasa takut apabila timbulnya isu kolera.

“Ia adalah perkara biasa dan hampir tidak dapat dielakkan. Kami tahu bagaimana munculnya malaria kerana negara mempunyai banyak tanah paya dan malaria pasti akan muncul,” kata Correia menggambarkan usahanya untuk mengawal krisis kemanusiaan di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 10:50 PM