KEBAKARAN bangunan itu belum dipastikan puncanya. -Foto CNN
Reuters

DHAKA: Jumlah korban kebakaran bangunan komersial setinggi 22 tingkat di Dhaka, Bangladesh, meningkat kepada 19 orang dengan ramai mangsa masih terperangkap.

Bomba masih meneruskan operasi menyelamat mangsa yang kelihatan melambai dengan cemas meminta bantuan dari atas bumbung serta tingkap.

Menurut saksi, seorang lelaki cuba menyelamatkan diri dengan turun menggunakan tali namun dia terjatuh. Keadaannya belum dapat dipastikan.

Bomba yang sudah mengeluarkan banyak mayat rentung, menggunakan kren untuk naik bagi memecahkan tingkap untuk menyelamatkan mangsa.

Sehingga malam tadi, kebakaran di bangunan yang belum dipastikan puncanya, sudah dapat dikawal dan bomba dengan bantuan helikopter, menyelamatkan lebih 100 orang.

Anggota bomba menggeledah tingkat demi tingkat bangunan itu untuk mencari mangsa sama ada yang terselamat atau sudah meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 12:29 AM