LIMA penghuni sebuah rumah orang tua di selatan Perancis maut.
AFP

TOULOUSE: Lima penghuni sebuah rumah orang tua di selatan Perancis maut manakala puluhan lagi dilaporkan serius dipercayai mengalami keracunan makanan, kata pihak berkuasa hari ini.

AFP yang memetik polis berkata, kejadian dikesan berlaku apabila 22 penghuni rumah orang tua persendirian di Lherm itu muntah teruk selepas menikmati hidangan makan malam.

Menurut agensi kesihatan tempatan, pihaknya sudah mengambil sampel makanan untuk dianalisis dan beberapa penghuni lain disoal siasat mengenai makanan yang diambil.

“Kami mengesyaki berlaku kes keracunan makanan memandangkan kejadian berlaku sebaik saja mereka selesai menikmati makanan malam,” kata timbalan pendakwa raya agensi itu, Marie-Paule Demiguel.

Rumah orang tua yang dibuka sejak 2006 itu beroperasi dengan lesen yang dikeluarkan oleh kerajaan Perancis.

Ia dikendalikan oleh sebuah firma swasta, Korian yang dikatakan memiliki rangkaian rumah orang tua terbesar di Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 6:59 PM