KAWASAN yang dilanda banjir di Tehran. FOTO/AGENSI
KAWASAN yang dilanda banjir di Tehran. FOTO/AGENSI
AFP

TEHRAN: Pihak berkuasa Iran, hari Isnin memindahkan pesakit dari sebuah hospital yang diancam banjir di barat daya Ahvaz, lapor agensi berita rasmi ISNA.

Iran dilanda bencana banjir selama beberapa minggu mengorbankan 70 orang.

Pihak berkuasa hari ini bertungkus-lumus mencegah banjir dari menimpa Ahvaz, yang juga ibu kota wilayah Khuzestan dengan penduduknya berjumlah kira-kira 1.3 juta orang.

Limpahan air mencetuskan kebimbangan selepas tebing sungai Karkheh pecah hingga berupaya menenggelamkan sebuah hospital di pinggir utara bandar.

“Semua pesakit di hospital Salamat dipindahkan ke hospital Golestan atas perintah pihak berkuasa pengurusan krisis akibat risiko dibanjir,” kata ketua hospital Golestan, Meysam Moazi kepada ISNA.

Banjir besar memaksa pihak berkuasa bertindak melepaskan air dari empangan sungai utama, menyebabkan ancaman ke atas beberapa bandar di kawasan hilir.

Pihak berkuasa mengarahkan penduduk di enam bandar baru di sepanjang sungai Karkheh agar berpindah apabila keadaan mendekati status kritikal.

Menurut ISNA, sebanyak 210 kampung di sepanjang sungai sudah dipindahkan, 61 daripadanya kini ditenggelami air.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 9:23 PM