GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Agensi

PORT Moresby: Doktor di Papua New Guinea (PNG) menghadapi fenomena baru apabila semakin ramai penduduk lelaki wilayah itu menyuntik bahan asing, termasuk minyak masak, silikon dan minyak bayi pada kemaluan mereka kerana obses mahukan zakar besar.

Menurut The Guardian, doktor di wilayah itu mendedahkan masalah berkenaan semakin serius kerana berlaku di seluruh negara dan membabitkan golongan lelaki berkerjaya.

Jurucakap Hospital Umum Port Moresby berkata, sejak dua tahun lalu, mereka sudah merawat sekurang-kurangnya 500 kes lelaki yang melakukan amalan itu yang membawa kepada masalah mati pucuk dan alat sulit cacat akibat suntikan bahan asing.

“Setiap minggu ada lima kes lelaki yang datang untuk rawatan. Namun, jumlah sebenar kes seperti ini tidak diketahui,” kata pakar bedah Hospital Umum Port Moresby, Akule Danlop.

Menurutnya, antara bahan asing yang disuntik lelaki pada kemaluan mereka termasuk, minyak kelapa, minyak bayi, minyak masak dan silikon yang memberi kesan sampingan memudaratkan.

“Terdapat kecacatan dan ketumbuhan membesar pada alat sulit pesakit, malah ada kes menyebabkan masalah skrotum.

“Ada pesakit menderita ulser dan sukar kencing akibat alat sulit terlalu bengkak,” katanya yang terpaksa membedah 90 pesakit disebabkan masalah itu.

Danlop berkata, kebanyakan pesakit berusia antara 18 hingga 40 tahun selain pernah merawat remaja berusia 16 tahun dan lelaki 55 tahun ke atas.

Profesor Kesihatan Reproduktif, Okstertik dan Ginekologi Universiti PNG, Glen Mola berkata, lelaki terbabit ditipu sindiket dan suntikan dilakukan pegawai kesihatan.

Doktor kini mengumpul data daripada pesakit untuk mengenal pasti kemungkinan dorongan untuk membesarkan alat sulit itu disebabkan pengaruh video lucah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 10:24 AM