BUAYA yang timbul di permukaan air sambil mengheret mayat mangsa. -Foto DailyMail
Agensi

SULAWESI: Seekor buaya yang menjadi buruan selepas membaham seorang lelaki, timbul di permukaan air sambil menggigit celah kangkang mangsa dan mengheret mayat berkenaan.

Kejadian dipercayai berlaku pada 13 April lalu apabila mangsa, Darlin Uti, 30, dibaham buaya terbabit ketika menyelam ke dalam sungai untuk membaiki paip rosak di Sulawesi, Indonesia.

Pasukan operasi dan menyelamat kemudiannya cuba mencari mangsa bermula dari Kampung Kinapani hingga ke Sungai Malaoge sebelum ternampak mayat berada di rahang buaya berkenaan.


PASUKAN penyelamat ketika mencari mayat mangsa. -Foto DailyMail

Satu rakaman menunjukkan kaki mangsa dilihat berada di permukaan air ketika buaya terbabit muncul.

Anggota penyelamat akhirnya berjaya mengambil mayat mangsa sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan.

“Terdapat kesan gigitan besar pada celah kangkangnya dan mungkin menyebabkan dia kehilangan banyak darah dan mati. Namun, mayatnya masih elok ketika digigit buaya,” kata seorang anggota penyelamat, Usmanudin.

Kejadian itu dilaporkan berlaku dua hari selepas seorang lelaki, Subli, 35, mati dibaham buaya ketika mencuci tangan di sebuah terusan di wilayah Indragiri Hilir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 11:01 PM