MANGSA serangan Christchurch dapat taraf penduduk. FOTO/AGENSI
MANGSA serangan Christchurch dapat taraf penduduk. FOTO/AGENSI
Agensi

NEW Zealand akan memberikan taraf penduduk tetap kepada semua mangsa yang terselamat dalam serangan pengganas di masjid di Christchurch yang membunuh 50 orang, bulan lalu.

Rakyat Australia, Brenton Tarrant, 28, didakwa atas 50 tuduhan bunuh dalam serangan tembakan terburuk New Zealand itu yang turut mencederakan 50 mangsa.

Kerajaan sebelum ini berkata, ia mempertimbangkan memberi visa kepada mangsa yang selamat, namun tiada keputusan diumumkan.

Susulan itu, Selasa lalu, keputusan memberi taraf penduduk tetap hanya dinyatakan sebagai pautan di laman web imigresen negara itu, dipercayai segelintir pihak untuk mengelak tindak balas negatif oleh golongan yang menentang migrasi.

Imigresen New Zealand berkata, kategori visa baru dikenali sebagai visa Christchurch Response (2019) sudah diwujudkan.

Mereka yang berada di masjid berkenaan ketika serangan pada 15 Mac lalu boleh memohon mendapatkannya dan begitu juga keluarga terdekat mereka.

Antara syaratnya, pemohon mesti tinggal di New Zealand pada hari kejadian, bererti ia tidak terpakai untuk pelancong atau pelawat jangka pendek. Permohonan dibuka sejak Rabu lalu.

Perdana Menteri Jacinda Ardern menyelar serangan itu sebagai perbuatan pengganas dan meluluskan undang-undang senjata api yang mengharamkan penggunaan senjata semiautomatik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 9:05 AM