SITI (kanan) dan suaminya tidak dibenarkan jaminan oleh Mahkamah Majistret Ringwood. FOTO/AGENSI
Agensi

MELBOURNE: Seorang wanita Malaysia dituduh memeras ugut sepasang suami isteri untuk wang sebanyak A$1,000 (RM2,900) selepas mereka merayu di media sosial supaya telefon bimbit mengandungi gambar bayi mereka yang nazak dipulangkan.

Siti Nurhidayah Kamal, 24, yang bekerja sebagai penghantar makanan untuk Uber Eats tidak dibenarkan jaminan oleh Mahkamah Majistret Ringwood.

Dia didakwa menghubungi Jay dan Dee Windross, ibu bapa kepada Amiyah, 11 bulan, menerusi aplikasi sembang WhatsApp selepas melihat rayuan mereka di media sosial untuk mendapatkan semula telefon bimbit itu, yang dipercayai ditinggalkan di tandas pusat beli-belah, Sabtu minggu lalu.

Telefon bimbit berkenaan mengandungi gambar Amiyah yang menghidap masalah saraf sejak lahir. Bayi itu meninggal dunia minggu lalu, lapor Daily Mail.

News.com.au memetik Windross berkata, seseorang menghubunginya dan mengarahkan wang dimasukkan ke sebuah akaun supaya telefon itu dipulangkan.

Siti Nurhidayah dan suaminya dilaporkan tinggal di Australia sejak empat bulan lalu manakala dua anak mereka ditinggalkan di Malaysia. Sementara itu, Windross berkata, telefon bimbit berkenaan masih belum ditemui.

AMIYAH meninggal dunia minggu lalu. FOTO/AGENSI

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 9:47 PM