JOKOWI mendahului dengan perbezaan 12.36 peratus. FOTO Agensi
Agensi

JAKARTA: Selepas lebih separuh undi dikira sehingga petang semalam, Presiden Joko Widodo (Jokowi) mendahului dengan perbezaan 12.36 peratus selepas meraih hampir 45 juta undi manakala Prabowo Sunbianto hanya memperoleh hampir 35 juta undi.

Media Indonesia melaporkan, sehingga jam 3 petang waktu Indonesia semalam, jumlah keseluruhan undi yang sudah dikira ialah 51.7 peratus menunjukkan Jokowi dengan calon Naib Presidennya, Ma’aruf Amin meraih 56.18 peratus undi manakala gandingan Prabowo-Sandiaga Uno mencatat 43.82 peratus.

Keputusan kiraan sebenar itu setakat ini membuktikan kiraan pantas oleh agensi bebas berdasarkan data di pusat mengundi pada hari mengundi 17 April lalu adalah tepat apabila menunjukkan Jokowi mengatasi Prabowo dengan kelebihan sekurang-kurangnya 10 peratus undi.

Gandingan Jokowi-Ma’ruf menang di Sumatera Utara, Sumatera Selatan, Lampung, Kepulauan Riau, Jakarta, Jawa Tengah, Jawa Timur, Yogyakarta, Papua, Papua Barat, Kalimantan Utara, Kalimantan Barat, Sulawesi Utara, Tengah dan Timur Maluku serta undi luar negara.

Mereka meraih kemenangan besar di Jawa Tengah dan Jawa Timur namun tewas di Aceh, Sumatera Barat, Riau, Jambi, Bengkulu, Jawa Barat, Bali, Nusa Tenggara Timur, Kalimantan Selatan, Sulawesi Tenggara dan Maluku.

Pilihan raya Indonesia pada 17 April lalu adalah yang pertama diadakan dalam masa sehari oleh negara yang mempunyai 193 juta pengundi, menggabungkan Pilpres dan Pilihan Raya Umum (Pemilu) bertujuan menjimatkan kos.

Menurut Suruhanjaya Pilihan raya (KPU), 80 peratus pengundi keluar membuang undi di 800,000 pusat mengundi. Keputusan rasmi kedua-dua pilihan raya itu akan diumumkan pada 22 Mei.

Sementara itu, Tribun News yang memetik laman web rasmi KPU melaporkan, Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) mendahului pungutan undi diikuti Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Parti Gerindra, Parti Demokrat dan Parti Amanat Nasional (PAN).

PDI-P meraih 19.19 peratus undi, PKS (17.41 peratus), Parti Gerindra (16.74 peratus), Parti Demokrat (6.32 peratus), PAN (6.3 peratus) dan Parti Solidaritas Indonesia (PSI - 5.86 peratus).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 7:08 AM