GAMBAR diedarkan pihak berkuasa Mexico menunjukkan bangkai kapal terbang yang ditemui terhempas. - AFP
Agensi

MEXICO CITY: Seramai 13 penumpang termasuk dua keluarga usahawan minyak Mexico maut selepas jet peribadi dinaiki terhempas di utara perbandaran Ocampo, kelmarin ketika pulang dari perlawanan tinju di Las Vegas.

Laporan media tempatan menyatakan mangsa berusia antara 19 hingga 57 tahun dan antaranya usahawan Luis Octavio Reyes Dominguez, isterinya serta tiga anak mereka, lapor Daily Mail.

Rakannya Ramon Amauri Vela, 57, dan keluarga turut maut dalam nahas yang turut mengorbankan tiga anak kapal itu.

Sebelum nahas itu, mangsa menyaksikan perlawanan tinju antara peninju Mexico Saul ‘Canelo’ Alvarez menentang Daniel Jacobs di Las Vegas, Sabtu lalu.


DOMINGUEZ dan keluarganya. - Daily Mail

Kerajaan negeri Coahuila dalam satu kenyataan berkata, bangkai pesawat ditemui di kawasan pergunungan Ocampo.

Imej bangkai pesawat yang disiarkan stesen televisyen Milenio menunjukkan serpihan pesawat musnah terbakar bertaburan di lokasi.

Pengawal trafik udara berkata, mereka terputus hubungan dengan jet Bombardier Challenger 601 itu sekitar jam 5.20 petang waktu tempatan, Ahad lalu selepas juruterbang melaporkan cuaca buruk.

Pihak berkuasa berkata, cuaca buruk disyaki menjadi salah satu faktor kemalangan itu, lapor AFP.


VELA bersama isteri dan anaknya. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 8:11 AM