CHEN berang kerana tambang mahal yang dikenakan pemandu bas berkenaan. FOTO SCMP
Agensi

BEIJING: Seorang wanita dihukum penjara empat tahun atas kesalahan menampar pemandu bas selepas tidak berpuas hati dengan tambang yang dikenakan, dalam kejadian di China.

Wanita berusia 29 tahun yang dikenali dengan nama keluarga Chen dijatuhkan hukuman semalam oleh Mahkamah Daerah Meilan di Haikou, wilayah Hainan, lapor People’s Daily di laman webnya.

South China Morning Post melaporkan, kejadian berlaku pada Disember lalu apabila Chen tidak berpuas hati dengan tambang dikenakan oleh pemandu, Fu Chuangming iaitu sebanyak 2 yuan (RM1.20).

Wanita itu bertegas, dia sepatutnya hanya membayar 1 yuan (60 sen) sahaja sebelum berlaku pertelingkahan antara mereka yang dirakam menerusi kamera pengawasan dalam bas.

Kejadian pemandu bas diserang orang awam dianggap perkara biasa di China namun dalam insiden tahun lalu, sikap itu menjadi punca sebuah bas terjatuh ke dalam Sungai Yangtze.

Penumpang wanita itu bertengkar dengan pemandu kerana terlepas destinasi perhentiannya sebelum bas terhumban dan meragut nyawa 15 penumpang dan pemandu.

CHEN dijatuhi hukuman penjara empat tahun. FOTO SCMP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 5:07 PM